Monday 14 January 2013

Najib : Tidak Mungkin Wujud Sistem Satu Parti di Malaysia.

alt

Malaysia tidak pernah berdepan dengan perlaksanaan sistem satu parti dalam mentadbir Negara malah ianya adalah satu perlaksanaan yang tidak mungkin dapat diwujudkan dalam pembentukan sebuah lanskap politik yang memegang prinsip demokrasi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ini adalah kerana rakyat di negara ini mempunyai sudut pandangan berbeza yang sihat.

"Sejarah menunjukkan amalan demokrasi di negara ini tidak pernah terputus sejak rakyat buat kali pertama mengundi sebagai sebuah negara merdeka pada tahun 1959 kecuali untuk tempoh kurang dua tahun apabila negara diletakkan di bawah pemerintahan MAGERAN pasca tragedi 13 Mei 1969.

"Sejarah juga menjadi saksi bahawa tidak pernah ada kudeta tentera di Malaysia kerana prinsip 'civilian supremacy' (supremasi/ketuanan awam) sentiasa difahami dan dihormati semua pihak," katanya ketika berucap pada majlis perasmian persidangan Transformasi Perundangan Berhubung Keselamatan dan Hak asasi di sini Isnin.

Beliau turut menjelaskan, Malaysia adalah satu daripada beberapa negara dalam dunia yang berkeupayaan membina sebuah negara majmuk tanpa mengorbankan prinsip teras demokrasi.

Katanya atas kesedaran bahawa kesepaduan sosial boleh hancur pada bila-bila masa, pemimpin terdahulu sentiasa berusaha bagi mencapai keseimbangan yang betul untuk melindungi hak individu di samping memastikan kepentingan kolektif terpelihara demi kesejahteraan masyarakat keseluruhannya.

"Bagi generasi hari ini, (ia boleh) diguna untuk menyongsong obor ini kepada generasi berikutnya, amat penting untuk kita memahami mengapa, bagaimana dan dalam situasi apakah peraturan dan dasar tertentu diwujudkan," katanya.

Friday 11 January 2013

Aura Filem Juvana Bakal Pecah Panggung.

alt


Kejayaan drama bersiri Juvana yang mendapat perhatian dan sambutan hebat di hati penonton sehingga berjaya mencipta rating yang tinggi di TV3 mencetus fenomena tersendiri. Juvana juga berjaya mendapat pengiktirafan apabila memenangi Anugerah Drama Rantaian TV Terbaik di Anugerah Skrin 2011.

Ekoran kejayaan dan sambutan yang sungguh luar biasa terhadap drama popular ini mendorong pihak penerbit iaitu Filmscape Sdn. Bhd dan Juita Video Sdn. Bhd menerbitkan sebuah filem aksi dengan judul yang sama iaitu Juvana.
 
alt

Filem Juvana masih lagi mengekalkan pengarah yang sama iaitu Faisal Ishak dan beberapa pelakon asal versi drama seperti Zahiril Adzim, Johan As’ari, Syazwan Zulkifly, Idzham Ismail, Adam Shah, Megat Farzeril dan Khairul Mohamed. Pelakon baru yang membintangi filem aksi ini seperti Sharnaaz Ahmad, Syafie Naswip, Shera Aiyob, Adlin Aman Ramli dan Sara Ali.

Kemunculan watak-watak baru yang mewarnai filem ini pastinya memberi impak tersendiri apabila bergandingan dengan watak-watak yang sedia ada seperti Daim, Botak dan rakan-rakannya – Apek, Panjang, Ayam, Kicap dan Komeng. Penonton Juvana akan melihat perkembangan karakter watak-watak pelajar Juvana tersebut yang lebih berkembang dari drama. 
 
alt

Bagi versi filem, Faisal Ishak meluaskan lagi ruang kreativitinya dan mengaplikasi formula pengarahannya yang tersendiri bagi memastikan hasil karya filem pertamanya berkualiti dan memberi impak terbaik buat penonton terutama penonton-penonton setia drama siri Juvana.

Filem bergenre aksi ini diyakini bukan sahaja mampu menarik perhatian penonton setia  drama siri Juvana tetapi juga pelbagai golongan terutama golongan remaja yang gemarkan filem penuh aksi dan dibarisi pelakon-pelakon popular yang berbakat tinggi. Bakal ditayangkan di pawagam pada 24 Januari 2013 ini. 



Kerajaan Selangor Didesak Tunai Janji Isu Perumahan Anak Muda

alt


PANDAN JAYA 10 Jan - Kerajaan Selangor hari ini didesak untuk menunaikan manifesto yang telah dibuat kepada rakyat semasa pilihan raya umum lepas berhubung isu perumahan anak muda di negeri ini.
 
Pengerusi Sekreteriat Orang Muda Selangor (Serang), Budiman Mohd. Zohdi, mendesak agar kerajaan negeri itu di bawah pimpinan menteri besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar menunaikan janji yang telah diberikan kepada rakyat.
 
"Kita mendesak agar kerajaan negeri Selangor memperbaiki dasar polisi untuk anak-anak muda di negeri ini terutamanya sakan isu perumahan ini.
 
"Dimanakah rumah kos rendah yang dimaksudkan itu? Adakah itu adalah rumah kos rendah ketika zaman Barisan Nasional (BN) ataupun itu adalah rumah dengan polisi serta dasar mereka sendiri," katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan perumahan di Pandan Jaya di sini, hari ini.
 
Turut hadir pada sidang media tersebut ialah barisan kepimpinan anak muda kawasan Parlimen Pandan.
 
Budiman turut mempersoalkan mengenai kenyataan kepimpinan negeri Selangor bahawa telah membina sebanyak 1, 510 buah rumah di daerah Hulu Langat.
 
"Warga Selangor sudah melihat sendiri dalam iklan mereka (kerajaan negeri) tentang jumlah perumahan untuk anak muda iaitu sebanyak 1, 510 rumah kos rendah, tetapi dimana rumah-rumah ini?," ujarnya.
 
Sehubungan itu, beliau turut berharap agar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kembali kepada objektif asal sebagai badan yang membina rumah murah.
 
"Kita merayu kepada PKNS untuk kembali sebagai pembina rumah rumah kerana peranan itu sudah tiada lagi kini," ujarnya.




Thursday 10 January 2013

Ulama Pas Tegas, Kalimah Allah Hanya Untuk Orang Islam


alt
 
KUALA LUMPUR 9 Jan - Ulama PAS tetap dengan pendiriannya bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh orang Islam dan penganut agama lain tidak berhak untuk menggunakannya.
 
Ketuanya, Datuk Harun Taib menegaskan pengunaan kalimah Allah merupakan soal akidah  umat Islam dan ia perlu dipertahankan dalam apa jua keadaan dan memastikan bahawa penganut agama lain tidak menggunakannya.
 
"Bukan Islam tak boleh guna (kalimah Allah) sebab mereka tak percaya kepada Allah. Perkataan 'God' dalam Bible bermaksud Tuhan. Kalau mereka kata mereka juga percaya kepada kewujudan Allah, maka dengan sendirinya mereka tak boleh menggunakan Bible, kena guna al-Quran.
 
"Kalau mereka percaya kepada kewujudan Allah, maka berimanlah kepada Allah. Mengapa masih menganut Kristian," katanya.
 
Penegasan yang dibuat oleh Harun itu jelas bercanggah dengan pendirian parti pembangkang yang mengumumkan bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh bukan Islam tetapi tidak wajar disalahguna oleh pihak lain terhadap masyarakat Islam sehingga menimbulkan kekeliruan.
 
Tambahnya, penggunaan kalimah Allah dalam Bible dikhuatiri akan merosakkan akidah generasi akan datang.
 
"Sekarang mungkin tak timbul masalah, tapi masa depan macam mana? Kalau Kristian pun pakai kalimah Allah iaitu nama tuhan orang Islam...ia akan menimbulkan kecelaruan. Ini sangat bahaya," katanya.
 
Semalam, PAS menyatakan parti itu kekal dengan pendirian yang dibuat sebelum ini bahawa golongan bukan Islam menggunakan kalimah Allah sebagai rujukan terhadap Tuhan bagi Agama masing-masing.
 
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi awang berkata, pendirian yang sama pernah diutarakan menerusi satu kenyataan media oleh beliau pada 2 tahun yang lalu.