Thursday 10 January 2013

Ulama Pas Tegas, Kalimah Allah Hanya Untuk Orang Islam


alt
 
KUALA LUMPUR 9 Jan - Ulama PAS tetap dengan pendiriannya bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh orang Islam dan penganut agama lain tidak berhak untuk menggunakannya.
 
Ketuanya, Datuk Harun Taib menegaskan pengunaan kalimah Allah merupakan soal akidah  umat Islam dan ia perlu dipertahankan dalam apa jua keadaan dan memastikan bahawa penganut agama lain tidak menggunakannya.
 
"Bukan Islam tak boleh guna (kalimah Allah) sebab mereka tak percaya kepada Allah. Perkataan 'God' dalam Bible bermaksud Tuhan. Kalau mereka kata mereka juga percaya kepada kewujudan Allah, maka dengan sendirinya mereka tak boleh menggunakan Bible, kena guna al-Quran.
 
"Kalau mereka percaya kepada kewujudan Allah, maka berimanlah kepada Allah. Mengapa masih menganut Kristian," katanya.
 
Penegasan yang dibuat oleh Harun itu jelas bercanggah dengan pendirian parti pembangkang yang mengumumkan bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh bukan Islam tetapi tidak wajar disalahguna oleh pihak lain terhadap masyarakat Islam sehingga menimbulkan kekeliruan.
 
Tambahnya, penggunaan kalimah Allah dalam Bible dikhuatiri akan merosakkan akidah generasi akan datang.
 
"Sekarang mungkin tak timbul masalah, tapi masa depan macam mana? Kalau Kristian pun pakai kalimah Allah iaitu nama tuhan orang Islam...ia akan menimbulkan kecelaruan. Ini sangat bahaya," katanya.
 
Semalam, PAS menyatakan parti itu kekal dengan pendirian yang dibuat sebelum ini bahawa golongan bukan Islam menggunakan kalimah Allah sebagai rujukan terhadap Tuhan bagi Agama masing-masing.
 
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi awang berkata, pendirian yang sama pernah diutarakan menerusi satu kenyataan media oleh beliau pada 2 tahun yang lalu.




No comments:

Post a Comment