Monday 14 January 2013

Najib : Tidak Mungkin Wujud Sistem Satu Parti di Malaysia.

alt

Malaysia tidak pernah berdepan dengan perlaksanaan sistem satu parti dalam mentadbir Negara malah ianya adalah satu perlaksanaan yang tidak mungkin dapat diwujudkan dalam pembentukan sebuah lanskap politik yang memegang prinsip demokrasi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ini adalah kerana rakyat di negara ini mempunyai sudut pandangan berbeza yang sihat.

"Sejarah menunjukkan amalan demokrasi di negara ini tidak pernah terputus sejak rakyat buat kali pertama mengundi sebagai sebuah negara merdeka pada tahun 1959 kecuali untuk tempoh kurang dua tahun apabila negara diletakkan di bawah pemerintahan MAGERAN pasca tragedi 13 Mei 1969.

"Sejarah juga menjadi saksi bahawa tidak pernah ada kudeta tentera di Malaysia kerana prinsip 'civilian supremacy' (supremasi/ketuanan awam) sentiasa difahami dan dihormati semua pihak," katanya ketika berucap pada majlis perasmian persidangan Transformasi Perundangan Berhubung Keselamatan dan Hak asasi di sini Isnin.

Beliau turut menjelaskan, Malaysia adalah satu daripada beberapa negara dalam dunia yang berkeupayaan membina sebuah negara majmuk tanpa mengorbankan prinsip teras demokrasi.

Katanya atas kesedaran bahawa kesepaduan sosial boleh hancur pada bila-bila masa, pemimpin terdahulu sentiasa berusaha bagi mencapai keseimbangan yang betul untuk melindungi hak individu di samping memastikan kepentingan kolektif terpelihara demi kesejahteraan masyarakat keseluruhannya.

"Bagi generasi hari ini, (ia boleh) diguna untuk menyongsong obor ini kepada generasi berikutnya, amat penting untuk kita memahami mengapa, bagaimana dan dalam situasi apakah peraturan dan dasar tertentu diwujudkan," katanya.

No comments:

Post a Comment